KUALA LUMPUR: Lebih 30 peratus pekerjaan di negara ini dijangka dipengaruhi kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, analisis terkini kerajaan mendapati sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat dijangka melalui transformasi signifikan.
Ujarnya, cabaran tenaga mahir semakin ketara dan memerlukan perhatian segera dengan statistik menunjukkan lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk kekal relevan dalam pasaran kerja.
“Tambahan pula, menjelang 2030 negara diunjurkan memerlukan 500,000 pekerja mahir tambahan bagi memenuhi keperluan sektor teknologi dan teknikal.
Angka-angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang efektif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pensijilan Pembangunan Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini hari ini.
Tambahnya, ia dilihat penting terutama dalam bidang teknologi dan teknikal, agar Malaysia dapat bersaing di peringkat global dan memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.
“Oleh itu, kerajaan sedang giat memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa dan keperluan industri 4.0. Ini termasuk kursus dalam bidang seperti keselamatan siber, pengurusan sistem pintar dan analitik data,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh daya saing negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MBOT menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC).
Ia bertujuan membangunkan kerangka jaminan kualiti dan pensijilan kursus jangka pendek yang komprehensif dalam bidang teknologi dan teknikal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.