Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Lebih 3.1 bilion panggilan yang disyaki sebagai penipuan disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat Disember tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia turut mencatatkan hampir 12,000 aduan yang diproses berkaitan penipuan dengan kerjasama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan sejak Januari 2022.
“Perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di ibu negara, hari ini.
Tambahnya, berdasarkan State of Scam Report 2024, rakyat Malaysia telah kehilangan AS$12.8 bilion (RM54 billion) akibat penipuan dalam tempoh setahun, mewakili 3 peratus daripada Keluardan Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Ujarnya, untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh adalah penting bagi memastikan pertumbuhan teknologi mampan dapat diteruskan.
Sementara itu, setakat hari ini, MCMC menerima hampir 4,700 permohonan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan dan perjudian di media sosial dalam tempoh tujuh hari bermula 1 Januari lalu.
Katanya, daripada jumlah itu 72 peratus berkait isu judi dalam talian dan 14 peratus hantaran berunsur penipuan atau scam.
“Kedua-dua ini sudah 86 peratus daripada semua kandungan yang diminta diturunkan,” katanya ketika sidang media.
IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berhasrat memimpin pembangunan dasar serantau yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan akses teknologi yang saksama bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.