comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 29,000 lepasan STPM ditawarkan tempat di IPTA bagi sesi 2024/2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited memastikan pelajar lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bagi calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), seramai 29,192 telah ditawarkan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2024/2025 merangkumi 22,449 calon Bumiputera dan 6,743 calon Bukan Bumiputera.

Namun katanya, jumlah itu lebih rendah berbanding sesi akademik 2023/2024 apabila seramai 29,555 lepasan STPM berjaya ditawarkan ke IPTA membabitkan kemasukan 21,910 calon Bumiputera dan 7,623 calon Bukan Bumiputera.

Bagi calon lepasan Matrikulasi, seramai 18,803 calon termasuk 15,993 calon Bumiputera ditawarkan ke IPTA pada sesi akademik 2024/2025.

Beliau berkata, pada sesi akademik 2023/2024, calon lepasan Matrikulasi yang berjaya ditawarkan ke IPTA adalah terdiri daripada 16,557 calon Bumiputera dan 2,796 calon Bukan Bumiputera.

“Pada sesi akademik 2023/2024, calon lepasan Asasi yang berjaya ditawarkan ke IPTA terdiri daripada 3,768 calon Bumiputera dan 50 calon bukan Bumiputera.

“Pada sesi akademik 2024/2025 pula, lepasan Asasi yang berjaya ditawarkan ke IPTA adalah seramai 3,775 calon Bumiputera dan 133 calon bukan Bumiputera.

“Pemilihan calon lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi untuk ke Universiti Awam (UA) adalah setara dan dinilai berdasarkan kelayakan calon,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan bilangan kemasukan pelajar dari STPM, Matrikulasi, Asasi, Saluran Terbuka ke universiti awam berdasarkan pecahan universiti dan kaum (iaitu Bumiputera Sabah, Bumiputera Sabah Lain, Bumiputera Sarawak, Bumiputera Sarawak Lain, Melayu, Orang Asli, Cina. India dan Lain-lain) pada sesi akademik 2023/2024 dan 2024/2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini