Tumpuan :
Nasional

Lebih 26,000 hektar tanaman padi ditenggelami banjir di Kelantan

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) Zuha Ismail berkata, sebahagian besar kawasan berkenaan baru siap ditabur benih beberapa minggu lepas, manakala sebahagian lagi menunggu waktu untuk dituai.

“Kita lewat melakukan proses tabur untuk musim 1/2025 kerana berdepan isu bekalan air sebelum ini. Namun, petani berdepan kerugian sekali lagi bila banjir melanda hampir seluruh Kelantan ketika ini.

“Bagi yang baru melakukan proses menabur, mungkin benih sudah dihanyutkan air kerana arus banjir pada tahun ini lebih deras daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, sudah tiga musim petani di Kelantan tidak dapat menanam padi dan mengalami kerugian hingga ribuan ringgit termasuk dirinya sendiri yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah di Peringat.

Beliau berkata, petani mempertaruhkan sejumlah modal yang besar untuk mengusahakan padi buat kali ketiga selepas tergendala dua musim berikutan kemarau dan krisis bekalan air.

“Banjir luar biasa tahun ini menyebabkan petani yang mengharapkan ada hasil jualan untuk perbelanjaan puasa, hari raya dan persediaan tahun baharu sekolah, sekali lagi berputih mata.

“Kita harap pihak kerajaan dapat membantu meringankan kerugian yang ditanggung oleh petani ini dengan bantuan sewajarnya selepas ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini