
KOTA BHARU: Seramai 200,880 orang warga emas di Kelantan ditawarkan vaksin influenza secara percuma dan sukarela yang boleh di ambil di 57 klinik di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin, berkata pihaknya sudah menerima sebanyak 3,600 dos vaksin influenza yang diagihkan kepada 57 klinik kesihatan terpilih.
Katanya, jumlah itu menjadikan sebanyak 1.8 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas yang bakal menerima suntikan untuk fasa pertama.
“Semua fasiliti kesihatan terpilih itu memulakan suntikan imunisasi semalam dengan jumlah suntikan sebanyak 842 dos atau 23 peratus daripada warga emas yang disasarkan di Kelantan.
“Warga emas yang disuntik dinasihatkan untuk datang ke klinik segera sekiranya terdapat sebarang gejala sampingan (AEFI),” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, program imunisasi influenza secara percuma dan sukarela kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid seperti kencing manis, penyakit saluran pernafasan kronik (asma, bronkitis, COPD), penyakit kardiovaskular, obesiti (BMI >30 kg/m²), tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi (dyslipidemia) atau penyakit buah pinggang kronik.
Menurutnya, slot temu janji suntikan boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera, janji temu di klinik kesihatan atau secara ‘walk-in’ di klinik kesihatan terpilih bergantung kepada ketersediaan stok.
“Program ini bertujuan melindungi warga emas daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza. Warga emas yang mempunyai penyakit kronik berisiko tinggi mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza.
“Dengan mengambil vaksin, kita bukan saja melindungi diri tetapi juga orang tersayang di sekeliling kita. Vaksin ini selamat, berkesan dan terbukti mengurangkan risiko jangkitan serta komplikasi yang serius,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.