comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 200,000 penoreh getah terima bantuan musim tengkujuh

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Seramai 204,182 pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan musim tengkujuh (BMT), setakat 7 Disember lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, sebanyak 311,596 permohonan diterima daripada jumlah sasaran penerima seramai 318,750 individu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima sebanyak 230,735 permohonan, manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menerima 69,077 permohonan dan 11,784 permohonan diterima Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Bagi fasa penyaluran bantuan setakat ini, ketiga-tiga agensi telah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 yang mana pekebun kecil dan penoreh getah RISDA sebanyak RM76,140,800, manakala LIGS sebanyak RM55,261,600 dan FELDA sebanyak RM9,427,200.

“Secara keseluruhan, setakat Disember, 271,213 permohonan telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi November dan Disember tahun ini.

”Baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada Januari dan Februari tahun 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM255 juta bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.

Jelas Ahmad Zahid, kelayakan penerima BMT melalui RISDA adalah pekebun kecil dan penoreh yang memiliki serta mengusahakan tanah bertanam getah tidak melebihi 2.5 hektar.

“Penyediaan BMT adalah untuk memastikan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti perladangan getah dan menjana kemakmuran yang berpanjangan dalam sektor pertanian.

“Kerajaan berharap usaha ini memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat serta membawa kepada peningkatan kualiti kehidupan pekebun kecil secara keseluruhannya,” katanya.

Loading...
Terkini