comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 200,000 hadir dalam dua hari program 2TM


KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 pengunjung direkodkan menghadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, bermula semalam.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pada hari pertama sebanyak 85,217 pengunjung hadir pada program itu bermula 9 pagi hingga 6 petang.

“Setakat 6 petang hari ini, jumlah pengunjung adalah 117,912 menjadikan 203,129 pengunjung hadir selama dua hari program ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir pada program tiga hari itu yang akan berakhir esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut berkongsi pencapaian dan inisiatif kerajaan MADANI di bawah pimpinannya selama dua tahun semasa sesi townhall atau dialog awam program itu yang bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’.

Beliau turut meluangkan masa melawat beberapa reruai dan beramah mesra dengan pengunjung.

Antara yang mendapat sambutan luar biasa pada program itu ialah tawaran penyelesaian saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diskaun hingga 60 peratus selain penukaran topi keledar dan Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini