KUALA LUMPUR: Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi tadi ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang. Serentak itu kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.
Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan lagu tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, nyanyian Alif Satar & The Locos bersama kumpulan koir Keluarga Malaysia dengan iringan muzik Orkestra RTM.
Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara mengetuai 65 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus menonjolkan elemen keterangkuman.
Usai lafaz ikrar, laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka.
Pada sambutan kali ini, hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas colour guard ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh 600 pelajar sekolah menengah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet pelatih dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.
Ia diikuti dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan pembawa bendera negeri-negeri.
Bagi menggambarkan kesepakatan sinergi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia, 27 kementerian dan jabatan daripada sektor perkhidmatan am, ekonomi, industri, keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam dan sosial menyertai kontinjen barisan kementerian.
Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Persatuan Jurumasak Malaysia diketuai Presiden Khairuddin Kamarudin. Tunku Azizah merupakan penaung persatuan ini yang ditubuhkan pada 1977 dengan objektif menyatukan profesional masakan serta mewujudkan hubungan antara pemain industri serta jalinan kerjasama profesional.
Perarakan kemudiannya dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang diketuai Sabri Said, melibatkan lima unit kenderaan pacuan empat roda daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan 65 motosikal berkuasa tinggi BMW K16.
Bidang sukan yang menjadi elemen penyatuan rakyat Malaysia tidak ketinggalan membuat penampilan. Atlet Malaysia termasuk mereka yang mewakili negara pada temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022 menaiki dua bas ‘hop-on hop-off’ menerima tepukan gemuruh para hadirin.
Menyerikan lagi sambutan tahun ini ialah perarakan 30 kenderaan klasik yang membawa tokoh dan karyawan seni antaranya pengarah filem Datuk Yusof Haslam serta personaliti filem pecah panggung ‘Mat Kilau’, Datuk Jalaluddin Hassan dan Shaharuddin Thamby.
Sejumlah 650 peserta daripada 33 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta serta kereta berhias yang membawa pelbagai maskot karekter animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar dan Hana, BoBoiBoy dan Papa Zola menceriakan perarakan dengan aksi masing-masing.
Dalam segmen ketenteraman awam, kontinjen barisan hadapan menarik perhatian ramai apabila turut membariskan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan serta petugas keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan tonggak utama negara tatkala pandemik COVID-19 melanda negara.
Bagi segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.
Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Buat julung kalinya ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan formasi mega terbang lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.
Lagu tema ‘Keluarga Malaysia’ ciptaan Jerry dan lirik oleh Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin. – BERNAMA