Tumpuan :
Nasional

Lebih 20,000 cuba berhenti merokok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Klinik Berhenti Merokok (KBM) disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di 778 Klinik Kesihatan dan 46 hospital di seluruh negara.

Setakat ini seramai 25,838 perokok mendapatkan khidmat itu tahun lalu, dalam usaha mereka untuk menghentikan tabiat merokok.

KBM yang dimulakan pada 2000 adalah perkhidmatan meliputi aspek pencegahan, promotif, kuratif dan rehabilitatif, terutama untuk membantu perokok berhenti merokok.

Ia adalah komponen penting dalam Pelan Strategik Kawalan Tembakau Kebangsaan (2021-2030) berlandaskan jangkaan bahawa perokok adalah penyumbang majoriti kepada kematian akibat penggunaan tembakau pada masa hadapan.

Perkhidmatan di KBM membabitkan dua jenis rawatan, iaitu farmakologi dan bukan farmakologi.

Rawatan farmakologi adalah penggunaan ubat bagi rawatan ketagihan nikotin dan dikenali sebagai Farmakoterapi Berhenti Merokok (FBM), manakala bagi rawatan bukan farmakologi, pesakit diberi kaunseling modifikasi tingkah laku tanpa penggunaan ubat-ubatan.

Bagi pesakit yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan, kakitangan kesihatan akan membuat penilaian dan penentuan tahap ketagihan nikotin atau rokok elektronik pesakit berkenaan.

Kemudian, pemeriksaan fizikal dan penilaian klinikal serta penilaian ‘inspiratory capacity’ dan ‘exercise tolerance’ akan dijalankan, sebelum rawatan susulan diambil, membabitkan kaunseling, farmakoterapi atau fisioterapi.

Jika perokok itu berjaya berhenti merokok dalam tempoh enam bulan, mereka akan diberikan kaunseling dan rawatan mengikut keperluan.

Jika gagal, mereka perlu meneruskan rawatan dan mendaftar semula di dalam kohort baharu.

Loading...
Terkini