KUALA TERENGGANU: Seramai 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 Peringkat Negeri, hari ini.
Sambutan bermula jam 8 pagi diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut menyertai perarakan, barisan EXCO negeri dan pegawai kanan kerajaan.
Sambutan bermula dari padang bola tiruan di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di Kuala Nerus.
Perarakan turut melibatkan agensi kerajaan, swasta, NGO, sekolah, IPT serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Sepanjang perarakan peserta membawa sepanduk melambangkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sambil berselawat.