comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 2,000 anggota, pegawai polis Pahang ditugaskan hadapi MTL

Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pada sidang media selepas sesi Majlis Pelancaran Projek Wakaf Van Jenazah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pahang di Kuantan. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Lebih 2,000 anggota dan pegawai polis di seluruh Pahang akan terbabit dalam operasi menyelamat mangsa banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata setakat ini, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat untuk memastikan semua aset polis berada dalam keadaan siap siaga.

Katanya, latihan juga sedang dilaksanakan untuk memastikan persediaan menghadapi monsun kali ini pada tahap terbaik.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Banjir, polis akan berkolaborasi dengan agensi-agensi pasukan penyelamat lain bagi memastikan operasi menyelamat mangsa banjir berjalan dengan baik, teratur dan lancar.

“Segala persediaan ini dilakukan lebih awal kerana kita tidak dapat menjangkakan MTL akan berlaku awal atau pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Kita akan menggunakan aset sedia ada bagi operasi menyelamat mangsa banjir dan turut menggabungkan aset daripada agensi menyelamat lain,” katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang dan Majlis Pelancaran Projek Wakaf Van Jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan cuaca melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebagai persediaan awal.

Dalam pada itu, katanya, pemantauan bukan sahaja membabitkan sepanjang Sungai Pahang tetapi sungai lain seperti yang berlaku banjir di Sungai Telemong, Bentong pada 2021.

“Oleh itu, daerah yang bukan di sepanjang Sungai Pahang perlu sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini