Oleh: Izzatie Rizan
PETALING JAYA: Selepas kejayaan luar biasa menarik jutaan pendengar, podcast Keluar Sekejap K-S dikendalikan dua bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan mengambil inisiatif menganjurkan Festival Audio Siar pertama di negara ini, Kuala Lumpur PodFest 2024.
Bekerjasama dengan Media Prima, festival itu yang akan berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Februari tahun hadapan selain menampilkan barisan ‘podcaster’ terbaik dari Malaysia dan Singapura.
Dj Hot FM, Khairy Jamaluddin berkata KL PodFest 2024 akan menjadi platform pencipta mempamerkan perspektif, cerita dan bakat unik ‘podcaster’.
Jelasnya, lebih 20 sesi akan diadakan sepanjang festival itu, termasuk sesi rakaman langsung, bengkel, aktiviti menarik bersama peminat serta individu yang berminat mengadakan audio siar sendiri.
“Podcast berkembang menjadi pasaran idea dinamik dan kini, mengukuhkan kedudukan dalam industri penyiaran.
“Bekerjasama dengan Media Prima menerusi pesta audio siar ini akan menguatkan platform, bakat dan memberikan kesedaran lebih meluas kepada orang ramai termasuk mereka yang tidak menggunakan kandungan dalam medium ini.
“Jadi untuk KL Podfest 2024, kita dah kaji podcaster-podcaster yang menarik, kita jemput mereka dan mereka setuju,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazri Noran berkata kerjasama dengan pesta audio siar mampu memberikan manfaat kepada perjalanan dalam dunia penyiaran radio.
“Podcast bukan satu benda baharu dalam dunia penyiaran radio dan kami boleh lihat bagaimana dua perkara ini saling berkaitan. Radio dan podcast dikatakan bersaudara.
“Jadi, kami percaya KL PodFest 2024 bukan sekadar acara, ia adalah satu anjakan penting dalam perjalanan dunia penyiaran,”katanya.
Antara podcast yang akan terbabit pada festival itu termasuklah Tiber, Malam Seram, Financial Faiz, OKLETSGO, Mr Money TV dan SneakerLAH.
Diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre PJPAC, tiket akan mula dijual bermula 1 Disember ini.