comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 20 murid sekolah alami gejala ringan, terdedah pencemaran bau

FOTO: Roslan Hassan

JOHOR BAHRU: 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya di sini, mengalami gejala ringan termasuk loya akibat terdedah dengan pencemaran bau yang mengancam kawasan perkampungan itu sejak awal pagi hari ini.

Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan berkata, kumpulan berkenaan adalah murid sesi pagi yang berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Beliau berkata, mereka yang dibekalkan penutup hidung dan mulut bagaimanapun mengalami beberapa gejala ringan seperti tekak kering, sukar bernafas dan loya.

Menurutnya, kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Kempas yang tiba ke lokasi kejadian menawarkan rawatan bersesuaian kepada kumpulan murid berkenaan.

Katanya, kumpulan murid itu dalam keadaan yang baik dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Ibu bapa tidak dilarang membawa pulang anak dari sekolah selepas lokasi berkenaan yang terletak bersebelahan anak sungai Tebrau didapati diancam bau busuk.

“Manakala bagi sesi petang, pengurusan sekolah menerima arahan untuk menutup operasi.

“Bagi esok pula, operasi sekolah difahamkan bergantung kepada situasi sama ada keadaan pulih atau sebaliknya,” katanya.

Roslan berkata, penduduk berharap kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa depan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas.

Beliau berkata, agensi berkaitan seharusnya memburu pelaku dan dikenakan tindakan sesuai.

“Ia tidak adil kepada penduduk yang tidak bersalah untuk menghadapi ketidakselesaan akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat kerja secara haram.

“Kami berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan yang tinjau di lokasi kejadian bagi mengenalpasti punca.

“Malah Menteri Besar Johor juga dilihat turun padang kerana prihatin dengan nasib penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ni sekolah berkenaan ditutup operasi.

“Bagi sekolah lain, kita tunggu keputusan mesyuarat jawatankuasa bencana daerah petang ini untuk dapatkan keputusan.

“Sekolah lain kita buat langkah berjaga-jaga awal dengan pemakaian penutup hidung dan mulut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini