Tumpuan :
Nasional

Lebih 17,000 Pelajar UUM Dapat Penginapan

ALOR SETAR : Isu tempat tinggal membabitkan lebih 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) selesai minggu lalu, apabila mereka semua ditempatkan di Inapan Siswa (INASIS) masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, berkata semua pelajar ditempatkan di 15 kolej kediaman atau (INASIS) selain terdapat pelajar ditempatkan di kemudahan penginapan tambahan.

Katanya, kemudahan penginapan tambahan adalah di kawasan Perumahan Sisiran Naib Canselor UUM, Perumahan Sisiran Sintok UUM, Perumahan Taman Universiti UUM dan rumah universiti di dalam kampus.

“Penempatan diberi kepada semua pelajar termasuk pelajar semester kelapan dan berikutnya atau dengan kata lain, pelajar yang lebih empat tahun dari tempoh biasa pengajian.

“UUM juga akan menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 November ini.

“Secara keseluruhannya, kesemua pelajar yang memohon penginapan iaitu seramai 17,708 orang memperoleh penginapan di UUM,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat pihak yang mendakwa terdapat kira-kira 1,000 pelajar UUM tidak mendapat penginapan bagi memulakan sesi pengajian mereka.

Haim Hilman berkata, pengurusan universiti sentiasa memastikan keperluan pelajar dapat dipenuhi dan mereka dapat belajar dalam suasana kondusif.c- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini