Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Lebih 140,000 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2023/2024.
Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, daripada jumlah tersebut, seramai 79,668 calon telah ditawarkan di UA manakala seramai 65,243 calon ditawarkan di Politeknik, KK dan ILKA yang menawarkan program pengajian berfokuskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Jumlah permohonan UPUOnline yang diterima bagi lepasan SPM adalah sebanyak 239,609 berbanding 237,161 pada sesi lalu dengan jumlah kenaikan sebanyak 2,448 (1.03 peratus). Sejumlah 144,911 calon telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian dengan kadar kejayaan sebanyak 60.9 peratus,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan telah berjaya mendapat tawaran dengan kadar kejayaan lelaki adalah 61.7 peratus berbanding perempuan 60.4 peratus.
Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 14,619 dengan 13,649 bagi kategori B40, 346 orang kurang upaya (OKU), 335 atlet dan 289 Orang Asli.
Selain itu, seramai 26 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran.
Mengulas lanjut, calon Melayu, Anak Negeri Sabah, Anak Negeri Sarawak dan Orang Asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.
Calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran pula adalah 5,477 (52.4 peratus) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang, manakala bilangan calon daripada kaum India dan lain-lain yang mendapat tawaran adalah 8,615 (46.5 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525.
Jabatan Pengajian Tinggi turut berkata, sebanyak 500 program pengajian ditawarkan bagi sesi akademik tersebut dengan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan satu Ijazah Sarjana Muda.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak, tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
“Prinsip meritokrasi tersebut adalah berasaskan pencapaian akademik (90 peratus) dan pencapaian kokurikulum (10 peratus),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memberitahu, kejayaan mendapat tempat adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian, perakuan temu duga dan/atau ujian bagi yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan.
Hanya calon yang mengemukakan permohonan UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my/ sahaja dipertimbangkan.
“Terdapat juga calon yang tidak mendapat tawaran kerana tidak memenuhi Syarat Am dan/atau Syarat Khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya untuk program kompetitif, gagal dalam saringan temu duga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan syarat demikian, atau kedudukan merit rendah,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon UPUOnline atas beberapa faktor.
Antaranya, mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Tingkatan 6, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan luar negara atau mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.
“Pihak kementerian mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.
“Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari sahaja mulai hari ini jam 12.00 tengah hari hingga 16 Julai 2023, jam 5.00 petang,” menurut kenyataan itu.