Tumpuan :
Nasional

Lebih 12,000 mangsa terjejas banjir di Sabah, Sarawak

Keadaan banjir di Bintulu pada Rabu lalu. FOTO: Ihsan JBPM

KUCHING: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 12,000 orang.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di Sarawak setakat pagi ini mencecah seramai 7,760 orang daripada 2,185 keluarga dan ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua lagi PPS menempatkan 129 mangsa tanah runtuh di Miri manakala satu PPS menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.

Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 56 dan menempatkan mangsa seramai 7,926 orang daripada 2,225 keluarga.

Daripada 41 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 19 PPS, Bintulu dan Samarahan (sembilan), Miri (lapan), Sibu (lima), Kuching (empat).

Sementara itu, di Sabah pula, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mereka ditempatkan di 34 PPS di 10 daerah dengan Kota Marudu menjadi daerah paling ramai iaitu 2,355 orang diikuti Telupid (413), Lahad Datu (360), Pitas (379), Kota Belud (297), Beluran (185), Sandakan (118), Paitan (120), Beufort (102) dan Tongod seramai 54 mangsa banjir.

Loading...
Terkini