comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 10,000 ketua isi rumah bakal terima bantuan khas banjir mulai bulan depan

Tinjauan udara kawasan yang dilanda banjir di sekitar Terengganu. – Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menyalurkan Bantuan Khas Tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di negeri ini bermula Januari hingga Februari 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lebih 10,000 KIR bakal menerima bantuan berkenaan sekali gus bagi mengurangkan beban dan kerugian yang dialami mangsa banjir di negeri ini.

“Bagaimanapun bantuan tunai berkenaan mengambil sedikit masa kerana perlu meneliti dan mendapatkan senarai nama daripada jabatan yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.

“Bagi bantuan lain selain wang tunai, perkara itu akan diteliti oleh JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) yang terbabit sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut kerana permasalahan setiap orang adalah tidak sama.

“Namun paling penting semua mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat, fokus sekarang lebih tertumpu kepada kerja pembersihan sampah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sebuah hotel, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Terdahulu kerajaan negeri mengumumkan setiap mangsa banjir berdaftar di Terengganu akan mendapat bantuan tunai RM1,000 manakala keluarga mangsa korban banjir menerima RM10,000.

Ketika ditanya mengenai timbunan sampah di kawasan banjir sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat berkemungkinan berlakunya ancaman penyakit, beliau akui pihak berkaitan bertungkus-lumus untuk mengatasinya.

“Tempat pelupusan sampah sudah ditenggelami banjir, jadi sampah tidak boleh dihantar, lagipun laluan juga turut terputus sebelum ini.

“Tetapi sekarang keadaan banjir dah mula reda, jadi pihak syarikat pembersihan sudah ambil tindakan segera untuk meningkatkan lagi operasi kutipan sampah itu selain bantuan dan kerjasama daripada agensi lain.

“Jadi masalah timbunan sampah di kawasan penempatan penduduk dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Loading...
Terkini