comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 terputus hubungan, Jambatan Tanjung Kala ditenggelami air

KUALA KRAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengeluarkan lebih 1,000 penduduk di lima kampung yang terperangkap selepas Jambatan Tanjung Kala ditenggelami air Sungai Kuala Pertang di sini sejak Ahad lalu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Kuala Pertang, Tanjung Kala, Pasir Jering, Kebun Pisang dan Sungai Tasan.

Anggota ATM membantu penduduk menyeberangi sungai dengan menggunakan bot.

Penduduk, Rohadi Yusoff, 58, berkata, jambatan utama yang menghubungkan kampung mula ditenggelami air pada jam 11 pagi Ahad lalu selepas hujan lebat yang berterusan.

“Apabila jambatan ini tenggelam, penduduk di Kampung Kuala Pertang, Tanjung Kala, Pasir Jering, Kebun Pisang dan Sungai Tasan tidak mempunyai jalan alternatif lain dan arus deras sungai membahayakan nyawa sekiranya menyeberang menggunakan bot sendiri.

“Jambatan yang berketinggian 2.4 meter dan sepanjang 500 meter ini tenggelam buat kali kedua dan kali ini paras air meningkat melebihi tiga meter,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Pertang di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Saidi Ibrahim, 49, berkata, pada Ahad lalu dia bersama isteri, anak dan cucunya terpaksa menumpang beberapa hari di rumah adik di Kampung Baru Padang 10 selepas jambatan tenggelam.

“Saya mengambil keputusan berpindah ke rumah adik buat sementara waktu kerana bimbang berlaku kecemasan terutamanya pada waktu malam.

“Saya dan beberapa penduduk di kawasan sekitar kerap terputus hubungan kerana jambatan yang berusia lebih 20 tahun ini mudah tenggelam manakala air akan surut dalam masa seminggu bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Tasan.

Penduduk, Mohd Saiful Majid, 25, berkata, pada pagi ini dia terpaksa mengambil keputusan keluar mencari bekalan barangan basah disebabkan sudah tiga hari mereka sekeluarga terputus bekalan.

“Mujurlah ada bot yang disediakan oleh ATM yang memudahkan urusan penduduk hendak menyeberang sungai untuk keluar ke bandar Kuala Krai.

“Hujan lebat berterusan menyebabkan limpahan air sungai dan ia menyebabkan keadaan sungai menjadi lebih lebar selain arus yang deras,” katanya.

Sementara itu, Norazilawati Makhtar, 29, dia bersama keluarga baru saja pulang dari Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dan terkejut apabila melihat jambatan untuk ke rumahnya ditenggelami air.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini