comscore
Tumpuan :
Bencana

Lebih 1,000 sukarelawan KPT bantu mangsa banjir di Johor

Oleh Zahir Senapiah

BATU PAHAT: Lebih 1,000 sukarelawan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turun padang membantu penduduk membersihkan kediaman mereka akibat banjir besar yang melanda daerah itu sejak 28 Februari lalu.

 

Fokus sukarelawan ini terarah di kawasan Parit Sulong dan Sri Medan yang masih berdepan fenomena banjir ‘termenung’.

Penduduk nyata bersyukur atas bantuan tenaga yang dihulurkan memandangkan dua hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan.

Aktiviti gotong royong membersihkan rumah mangsa banjir bermula jam 9 pagi.

Pasukan sukarelawan terdiri daripada staff dan pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi awam menyertai operasi pasca banjir kali ini.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Menurut sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Zaharah Abd Samad, program berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti setempat.

“Bila kita melibatkan pelajar kita juga mendidik mereka untuk menjadi insan yang prihatin dan sentiasa menyumbangkan sesuatu sentiasa terlibat dengan program komuniti,” katanya yang ditemui di Parit Sulong.

Jelasnya, pembentukan sahsiah pelajar turut diberi penekanan terutama dalam kerja kebajikan.

Bagi sukarelawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Shahira Mardhiah Wan Zahari, kesempatan menabur bakti kepada masyarakat setempat merupakan peluang yang amat berharga.

Katanya, selain mengeratkan hubungan, peluang itu digunakan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ini bukan kali pertama, kita banyak kali terlibat. Boleh dikatakan semua daerah kita dah pergi bagi membantu membersihkan sisa banjir dan mengedarkan bantuan bakul makanan” katanya.

KPT dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 1,442 sukarelawan membabitkan 459 staff dan 983 pelajar menyertai operasi pasca banjir di 10 daerah yang terkesan banjir di Johor.

Turut diedarkan Bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas dianggarkan bernilai hampir RM346,000.

Mangsa banjir di Batu Pahat terus berkurangan kepada 6,000 orang berbanding 7,972 orang daripada 2,299 keluarga malam tadi.

Hanya 41 PPS yang masih beroperasi selepas kebanyakan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Loading...
Terkini