comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 penduduk Pos Gob terputus hubungan

Kumpulan penduduk Orang Asli yang terpaksa bermalam di hutan selepas terkandas dan tidak dapat pulang ke kampung mereka. – FOTO: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk di Pos Gob terputus hubungan akibat tanah runtuh di tiga bukit menuju pos terbabit manakala jambatan kayu di Kampung Santeg rosak teruk susulan hujan lebat semalam.

Kejadian menyebabkan sekumpulan penduduk Orang Asli kaum Temiar yang ingin pulang ke perkampungan mereka terkandas dan terpaksa bermalam di dalam hutan.

Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata aduan penduduk diterima melalui WhatsApp pagi tadi.

Beliau berharap tindakan segera diambil untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sebelum musim tengkujuh melanda bulan depan.

“Saya dimaklumkan tiga tempat berlaku tanah runtuh dan satu jambatan hampir runtuh.

“Paras Sungai Puian juga dilapor semakin meningkat, menyebabkan mereka terpaksa bergotong-royong mengangkat motosikal untuk menyeberangi sungai.

“Ada yang terpaksa bermalam di hutan dan berdepan pelbagai risiko terutama gajah liar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Azmawi Fikri berkata, tindakan segera akan diambil bagi membantu penduduk Orang Asli di pedalaman yang kini berhadapan masalah perhubungan.

Beliau turut menasihati penduduk Pos Gob berhati-hati dan tidak menghampiri laluan berisiko tanah runtuh.

“Kita harap kontraktor jalan menyapu jalan bagi membolehkan penduduk melaluinya buat sementara waktu.

“Saya akan berbincang dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk bantuan awal sebelum Monsun Timur Laut (MTL) bermula,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini