comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 peminat yoga berhimpun sambut Hari Yoga di Batu Caves

Lebih 1,000 peminat yoga menyertai sambutan Hari Yoga Antarabangsa ke-9 di Batu Caves siang tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Yoga Antarabangsa kesembilan anjuran Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia di Kompleks Batu Caves di sini hari ini menyaksikan penyertaan lebih 1,000 peminat yoga daripada pelbagai latar belakang termasuk komuniti diplomatik dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pelbagai organisasi rakan kongsi Malaysia atas sokongan berterusan mereka terhadap yoga.

“Suruhanjaya Tinggi India akan terus bekerjasama dengan organisasi rakan kongsi untuk menyebarkan secara meluas amalan yoga dengan tenaga penghubungnya yang menggalakkan kesejahteraan fizikal, mental dan rohani.

“Menerusi sokongan 40 organisasi rakan kongsi di Malaysia, Suruhanjaya Tinggi India mengadakan acara yoga di 75 lokasi di semua negeri di Malaysia dari 21 Jun hingga akhir Oktober tahun lalu (2022),”  menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi itu.

Acara yang diserikan oleh Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Karima El Korri menampilkan sesi yoga selama 40 minit, dijalankan mengikut “Common Yoga Protocol” (CYP), yang diketuai oleh pengajar yoga berpengalaman.

El Korri juga membaca Mesej Setiausaha Agung PBB, António Guterres sempena Hari Yoga Antarabangsa ke-9 dan memaklumkan para peserta bahawa Perdana Menteri India, Narendra Modi buat pertama kalinya akan mengetuai sambutan Hari Yoga Antarabangsa di Ibu Pejabat PBB di New York lewat hari ini (21 Jun) dan mengalu-alukan semua orang untuk mengikuti acara langsung program itu.

Sebelum ini, Modi dalam surat peribadi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyatakan penghargaannya kepada Anwar serta kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi dan sumbangan besar mereka dalam mempopularkan yoga sejak beberapa tahun lalu.

Mencerminkan falsafah India kuno ’Vasudhaiva Kutumbakam’ (Dunia adalah satu keluarga), tema untuk Hari Yoga Antarabangsa tahun ini ialah ’Yoga for Vasudhaiva Kutumbakam’.

Tema ini bersamaan dengan moto “Satu Bumi, Satu Keluarga, Satu Masa Depan” India yang menjadi presiden semasa G-20. – BERNAMA

Loading...
Terkini