comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 pemandu lori protes operasi penguatkuasaan JPJ Terengganu

Wakil Persatuan Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Pantai Timur, Ibrahim Mamat menyerahkan memorandum kepada Pengarah JPJ, Zulkarnain di perkarangan JPJ Terengganu. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 pemandu lori berhimpun di perkarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, di sini, sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan yang dijalankan agensi itu, hari ini.

Ia bertujuan menuntut kerajaan supaya mempertimbang semula beberapa perkara dan syarat baharu yang dikenakan terhadap golongan berkenaan.

Wakil Persatuan Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Pantai Timur, Ibrahim Mamat berkata, pihaknya turut menyerahkan memorandum mengandungi lapan tuntutan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, operasi bersepadu antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat secara melulu sehingga menyebabkan pengusaha dan pemandu lori mendakwa mereka hilang punca pendapatan.

“Persatuan menuntut kerajaan supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan dan lebih bertimbang rasa kepada pemandu lori.

“Pengusaha dan pemandu lori semakin tertekan dengan tindakan penguatkuasaan seolah-olah kami ini penjenayah,” katanya ditemui, di sini.

Menurutnya, tuntutan berkenaan termasuk perlepasan had muatan, pengurangan waktu operasi, tindakan saman terhadap pengilang dan pelombong, kenaikan sewa kenderaan perdagangan dan menghapuskan sistem saman demerit.

Katanya, pihaknya berharap pihak berkuasa atau kerajaan dapat memberi perhatian terhadap rintihan pemandu lori.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Lori Terengganu, Fadhli Idris berkata, keadaan lebih buruk apabila pihak berkuasa menggandakan operasi di seluruh negara bermula awal bulan ini.

Katanya, operasi bersepadu itu mengenakan tindakan berat termasuk kompaun terhadap pemandu lori meskipun mendakwa sudah mematuhi syarat atau peraturan yang ditetapkan.

“Kami bekerja berbulan-bulan kumpul duit untuk menyara keluarga, selenggara kenderaan, bayar cukai jalan dan lesen, namun duit simpanan habis sekelip mata membayar kompaun, malah ditahan di lokap.

“Denda yang dikenakan mahkamah tinggi, paling rendah pun RM5,000, malah ada yang pernah kena sehingga puluh ribu ringgit menyebabkan ada yang terpaksa menjual lori dan menggadai tanah untuk membayar denda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin ketika ditemui mengesahkan menerima memorandum daripada wakil pengusaha lori terbabit.

“Terdapat sebanyak lapan tuntutan dikemukakan dan saya akan panjangkan perkara ini kepada ibu pejabat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini