comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 100 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal

 

TAWAU: 104 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia termasuk lima kanak-kanak dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan itu adalah siri ke-12 untuk kategori usir melalui jalan laut bagi 2024.

Menurutnya, pemindahan membabitkan tahanan daripada Depot Imigresen Tawau (DIT) turut mendapat kerjasama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.

Beliau berkata, penghantaran pulang tahanan kali ini membabitkan 78 lelaki dan 21 wanita serta lima kanak-kanak bersama Ibu bapa atau waris masing-masing.

Katanya, Pati berumur antara dua hingga 55 tahun itu dihantar pulang menggunakan perkhidmatan feri di sini, ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan di Indonesia.

“Mereka sebelum ini ditahan di DIT, selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Saleha berkata, hukuman dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara, sehingga kepada tindakan pemindahan keluar ke negara asal.

Katanya, kekerapan program pemindahan Pati warganegara Indonesia yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama strategik daripada pihak Konsulat Republik Indonesia Tawau dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan.

“Program pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“JIM Sabah komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemindahan Pati setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini