Tumpuan :
Nasional

Lebih 10 jenis sayuran dijual RM1 seikat

Orang ramai mengambil kesempatan membeli sayur-sayuran yang dijual pada harga RM1 seikat di Pekarangan Masjid Rawai di sini hari ini. – FOTO: NSTP

MARANG: Lebih jenis 10 sayuran dijual pada harga RM1 seikat dan sebungkus di Pasar Berkat sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Isra’ Mikraj peringkat Daerah Marang di pekarangan Masjid Rawai di sini, hari ini.

Antara sayuran yang dijual adalah kangkung, kacang panjang, sawi, kailan, kobis, timun, tomato, cili merah, cili hijau dan pucuk paku.

Selain itu, sayuran lain seperti salad, halia, labu, ubi keledek, jering dan petola pula dijual pada harga 10 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Peniaga, Mohammad Hisyam Zuhdi Mohd Zaki, berkata sebanyak 600 kilogram sayuran dibawa sempena karnival itu bagi membantu orang ramai mendapatkan bekalan sayuran pada harga murah.

Katanya, bekalan diperoleh daripada pekebun di sekitar Bukit Payong dan Cameron Highlands.

FOTO: NSTP

“Selain membantu orang ramai membeli pada harga lebih murah, kita juga dapat membantu pekebun tempatan menjual sayuran mereka.

“Ia sebahagian daripada usaha kami untuk membantu masyarakat setempat dalam mendapatkan barang keperluan harian pada harga lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Khairudin Johari pula menyediakan lima tan metrik pelbagai jenis ikan yang dibawa menggunakan treler untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, antara ikan yang dijual adalah selayang, tongkol, siakap, gelama, ebek, jemudut dan udang yang diambil dari Besut dan Tok Bali, Kelantan.

“Saya mula berniaga jam 7.30 pagi dan beberapa jenis ikan habis dijual dalam tempoh satu jam sahaja.

“Sebagai contoh, ikan siakap dijual pada harga RM5 seekor dan habis dijual dalam tempoh satu jam, manakala ikan lain pula dijual pada harga antara 20 hingga 50 lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Junaidah Syed Ahmad, 38, menyambut baik inisiatif penganjur mengadakan pasar seperti itu yang secara tidak langsung dapat membantu orang ramai berjimat.

“Sayuran dijual pada harga RM1 seikat atau seplastik dan hari ini saya beli stok sayuran untuk seminggu,” katanya.

Sebanyak 32 gerai dibuka di Pasar Berkat sempena penganjuran karnival berkenaan selain beberapa reruai agensi kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini