Tumpuan :
Nasional

LCS 2 selesai jalani proses blasting, cat tahap pertama

Kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selesai menjalani proses blasting. Foto tangkap layar video Lumut Naval Shipyard

KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selesai menjalani proses blasting iaitu pembersihan permukaan kapal menggunakan teknik letupan dan pengecatan tahap pertama.

Syarikat Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dalam kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan, kejayaan LCS 2 itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan pembinaan kapal tempur terbabit.

Katanya, selepas ini kapal itu akan menjalani proses penyediaan permukaan dan aplikasi salutan selanjutnya untuk memastikan semua kawasan kritikal memenuhi piawaian diperlukan.

“Prosedur penting ini memastikan permukaan kapal bersedia ketika kami bergerak secara progresif ke peringkat seterusnya, yang mana lapisan tambahan salutan akan digunakan dengan teliti untuk meningkatkan daya ketahanan dalam keadaan maritim yang mencabar.

“Kemajuan ini membawa kita lebih dekat dalam proses penyiapan LCS 2 yang dinanti-nantikan,” katanya.

LUNAS turut memberi penghargaan kepada pasukan pakar yang berdedikasi dan kerja keras mereka menghasilkan pencapaian itu.

“LUNAS kekal komited memberikan kecemerlangan dalam pembinaan LCS,” katanya.

Dalam hantaran berkenaan, LUNAS memaklumkan proses blasting dan mengecat ialah prosedur kritikal dalam industri seperti pembinaan kapal yang membabitkan proses teliti dan tempoh menyiapkannya bergantung kepada saiz kapal, keadaan permukaannya dan keperluan projek.

Proses itu membabitkan pembersihan permukaan melalui letupan kasar untuk menghilangkan karat, salutan lama dan bahan cemar, diikuti salutan pelindung dalam lapisan, termasuk primer, perantaraan dan lapisan atas untuk memastikan ketahanan, rintangan kakisan serta kemasan yang dipertingkatkan.

Untuk kapal besar seperti LCS, proses itu lazimnya mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk menyiapkan satu salutan cat.

Ketika ini, LCS 2 sudah disalut cat primer dan lapisan tambahan akan digunakan secara progresif dari semasa ke semasa.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan status kemajuan semasa bagi perolehan LCS pertama TLDM yang berakhir pada 25 Oktober lalu adalah 70.1 peratus berbanding jadual perancangan iaitu 70.69 peratus., merangkumi elemen reka bentuk, proses pembinaan, peralatan dan ujian.

Katanya, berdasarkan perancangan perbatuan terkandung dalam kontrak ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama disiapkan bulan lalu, sebelum ia menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.

Kapal LCS 2 pula akan turun ke permukaan air pada 2025 sebelum menjalani ujian HAT dan SAT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini