Tumpuan :
Nasional

Layan Hot Daddy macam selebriti, tidak malu & rasa berdosa – Perunding Motivasi

Tangkap layar video tular

Oleh : Fatin Hanani Sahimi 

PETALING JAYA: Dilayan seolah-olah artis terkenal hingga ramai yang menyapa mesra dan mahu bergambar untuk kenangan.

Gelagat orang ramai yang seperti mengidolakan lelaki yang lebih dikenali dengan panggilan hot daddy atau nama penuhnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, ini hingga tular, menjadi pertikaian netizen di media sosial.

Menerusi rakaman yang berdurasi satu minit 16 saat itu memaparkan beberapa individu beramah mesra dengannya mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak, seperti mereka menerima dan ‘menghalalkan’ kegiatan perkhidmatan persundalan yang didakwa didalangi bapa anak tiga itu.

Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata segelintir masyarakat kini ibarat sudah tiada segan silu dan mengganggap perbuatan itu sebagai satu kebiasaan buat mereka.

Perunding Motivasi & Kaunseling, Hushim Salleh.

“Perkara ini sudah menjadi normalisasi dan kebiasaan dalam kalangan masyarakat, contohnya apabila mereka bergambar dengan individu terbabit, mereka merasakan diri sudah hebat.

“Selain itu, ia menjadi satu kepuasan dan kebanggaan kepada seusia mereka, lebih-lebih lagi di media sosial, perasaan malu dan berdosa itu sudah tiada,” katanya ketika dihubungi BuletinTV3.

Menurutnya, sikap ingin memperoleh wang yang banyak, ibu bapa gagal menjadi ‘role model’ yang baik dan pengaruh rakan sebaya, penyumbang kejadian tidak bermoral kerap berlaku dalam kalangan remaja ketika ini.

“Saya mengambil contoh ada ibu bapa yang memberi perbelanjaan tidak cukup untuk anak belajar di asrama universiti dan sebagainya, bagi RM200 sebulan nak makan apa? anak setiap hari tengok rakan makan mahal.

“Dan bila mereka tahu rakan ada ‘sugar daddy‘ atau menjual video lucah sebagainya, mereka akan terpengaruh dengan rakan,” ujarnya.

Beliau berkata ibu bapa sewajarnya memahami dan lebih cakna terhadap perubahan dan tingkah laku yang berlaku kepada anak-anak mereka.Institusi pendidikan juga digesa memperbanyakkan program kesedaran menjaga maruah dan diri kepada masyarakat khususnya remaja.

Hushim berkata, golongan remaja perlu lebih bijak menjadikan individu sebagai ‘role model’ dengan melihat kepada keseimbangan kerjaya dan kehidupan mereka.

“Berjaya bukan sahaja daripada segi akademik malah dari segi kehidupan yang seimbang, termasuk jiwa, emosi, dan sebagainya.

“Maysrakat sekarang keliru ingin jadikan siapa sebagai contoh atau role model, justeru peranan ibu bapa, khususnya bapa sebagai role model yang pertama adalah penting,” ujarnya.

26 Januari lalu, Hasli Ikhwan bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Bagaimanapun, dia dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman, di sini, 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini