Tumpuan :
Nasional

Lawatan YDP Agong ke China capai banyak persetujuan, tingkat kerjasama 2 negara

KUALA LUMPUR: Pelbagai peluang kerjasama antara Malaysia dan China dibincangkan susulan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke China baru-baru ini, dengan banyak persetujuan turut dicapai kedua-dua negara.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertanian, agri komoditi, pelancongan, kesalinghubungan dan hubungan antara rakyat.

“Pihak China bersetuju untuk mempertingkat kerjasama sedia ada, selain meneroka peluang kerjasama baharu di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Kerjasama lain merangkumi perkongsian pakar dan teknologi dalam bidang pertanian, pembasmian kemiskinan tegar, tenaga boleh baharu, semikonduktor, kecerdasan buatan dan ekonomi digital,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai manfaat dan kebaikan kepada negara susulan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke China sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan Presiden China, Xi Jinping turut menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan ke Malaysia tahun depan selepas kali terakhir melawat negara ini pada 2013.

Beliau berkata, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China tahun ini, pelbagai program dianjurkan termasuk 37 pertukaran lawatan tinggi oleh kedua-dua pihak, termasuk Lawatan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim antara 19 hingga 22 September lalu.

Katanya, lawatan Sultan Ibrahim disambut dengan meriah oleh kerajaan China dan ia amat jelas ketika Istiadat Majlis Sambutan Negara serta Majlis Santapan Negara yang dihoskan Jinping, sekali gus mencerminkan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Hubungan erat berdasarkan kepada saling menghormati dan kepercayaan jelas kelihatan ketika perjumpaan baginda dengan Presiden Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang baru-baru ini.

“Pihak China amat terbuka dan ikhlas dalam setiap isu yang dibincangkan dan berhasrat berkongsi kepakaran perancangan bandar serta menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam projek pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan kereta api berkelajuan tinggi.

“Presiden Jinping menyatakan hasratnya untuk mengadakan lawatan ke Malaysia pada 2025 mengikut kesesuaian masa kedua-dua pihak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini