comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar ke Arab Saudi pertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala

JEDDAH : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula hari ini (22 Mac) hingga 25 Mac 2023.

Lawatan ini adalah yang pertama sejak Datuk Seri Anwar menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan diiringi Menteri Luar serta Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil sepanjang lawatan ini” kata Wan Zaidi

Perdana Menteri dijadualkan untuk mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz, Penjaga Dua Masjid Suci dan Yang Amat Mulia Putera Mohammed bin Salman Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al Salam.

Ketibaan Perdana Menteri akan disambut dengan upacara Sambutan Rasmi dengan kawad statik.

“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama di samping meneroka peluang-peluang kerjasama yang baru bagi memperkasakan jalinan hubungan antara kedua-dua negara” kata Wan Zaidi.

Semasa lawatan ini juga Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Hissein Brahim Taha, Setiausaha Agung Persatuan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Council – OIC) dan Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL).

Pertemuan-pertemuan ini akan menjadi satu platform bagi Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkan pelbagai isu-isu berkepentingan yang melibatkan Malaysia.

“Pertemuan ini merupakan satu wahana bagi Datuk Seri Anwar untuk menerokai peluang ekonomi yang boleh diceburi oleh ahli perniagaan Malaysia di Arab Saudi serta bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara”.

Semasa lawatan ini juga, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka akan ditandatangani antara kedua-dua negara.

Pemeteraian MoU-MoU tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri juga akan mengambil peluang untuk beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Jeddah.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi, yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.  Hubungan simbiotik ini telah memberi manfaat kepada rakyat kedua – dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor”

“Sukacita saya kongsikan peningkatan perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi dari tahun 2021 ke tahun 2022”.

Pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat.

Jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (USD10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2%.

Jumlah eksport ke Arab Saudi meningkat sebanyak 43.8% berjumlah RM7.28 bilion (USD1.66 bilion), manakala, jumlah import daripada Arab Saudi mencatatkan peningkatan sebanyak 205.8% berjumlah RM38.24 bilion (USD8.60 bilion), berbanding tahun sebelumnya.

Loading...
Terkini