comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan PM ke Brazil kukuh hubungan diplomatik 65 tahun

FOTO: PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rio de Janeiro, Brazil bermula 16 November ini amat signifikan kerana ia adalah lawatan sulung Perdana Menteri ke negara tersebut dan atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula Da Silva.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia juga amat signifikan kerana Malaysia dan Brazil meraikan ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-65 pada tahun ini.

“Penyertaan Malaysia di Kumpulan 20 (G20) adalah di bawah Kepengerusian Brazil. Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang G20 pada tahun 2015 di Turkiye selaku Pengerusi ASEAN ketika itu.

“Tahun 2025 amat signifikan kepada Malaysia dan Brazil. Tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, Brazil akan menjadi Pengerusi BRICS dan turut menghoskan Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim yang ke-30 (COP30),” katanya dalam kenyataaan.

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Rio de Janeiro selama empat hari sehingga 19 November ini bagi pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil dan menghadiri Mesyuarat Ke-19 Pemimpin-Pemimpin G20.

Dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu kepada hubungan kerjasama dua hala bagi mengukuhkan lagi persahabatan dan persefahaman di antara Malaysia serta Brazil dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan termasuk perniagaan melibatkan industri halal.

Selain itu, kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu berkepentingan bersama antarabangsa termasuk ASEAN, G20, BRICS serta COP dan Perjanjian Paris, reformasi institusi antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta institusi kewangan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, melalui G20, Malaysia mendapat platform di peringkat antarabangsa untuk mengetengahkan dan mendapat manfaat daripada dasar global seperti menangani perubahan iklim, keterjaminan makanan serta pembangunan inklusif.

“Penglibatan aktif Malaysia dalam ASEAN menjadi pelengkap kepada keutamaan G20. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mewakili rantau Asia Tenggara dan secara tidak langsung menyumbang kepada perbincangan dalam G20 bagi memastikan kestabilan ekonomi serantau dan menangani isu berkepentingan bersama.

Melalui G20, Malaysia boleh mengetengahkan dasar yang boleh memberi manfaat kepada ASEAN dan negara membangun termasuk pembangunan ekonomi terangkum, pembangunan mampan dan tindakan iklim.

Jelas beliau, Malaysia turut berpeluang mengambil kesempatan daripada wujudnya sumber kewangan dan keupayaan teknologi maju dalam kalangan G20 untuk tujuan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia, akses kepada teknologi serta menggalakkan inovasi.

G20 ialah kumpulan geo-ekonomi yang amat berpengaruh dalam menentukan piawaian antarabangsa dalam hal ehwal ekonomi dunia.

G20 terdiri daripada 19 negara iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Ia juga membabitkan dua kesatuan iaitu Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini