Tumpuan :
Nasional

Lawatan pemimpin Indonesia, Uzbekistan perkukuh hubungan dua hala

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan hasil lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata lawatan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dengan kedua-dua negara, tetapi juga membuka peluang baharu dalam aspek perdagangan, pelaburan, dan kerjasama strategik.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membincangkan hasil daripada siri lawatan kerja rasmi ataupun siri lawatan negara yang melibatkan Presiden Indonesia dan Presiden Uzbekistan.

“Hasil daripada dua lawatan itu bukan hanya sejumlah memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dalam mengeratkan hubungan di antara negara-negara tersebut dengan Malaysia, tetapi juga membuka peluang perniagaan dan pelaburan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Malaysia akan menerima kunjungan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Selasa depan.

“Insya-Allah pada Selasa ini, Majlis Istiadat Sambutan Rasmi sempena kunjungan lawatan kerja rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan diadakan,” jelasnya.

Malaysia dan Turkiye sebelum ini telah menjalin kerjasama erat dalam bidang perdagangan, pertahanan, serta industri teknologi tinggi, dan lawatan ini dijangka memberi impak positif terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini