Oleh: Mohd Redzuan Abdul Manap
ABU DHABI: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Abu Dhabi atas undangan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, sempena Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) disifatkan Berjaya.
Dalam sidang media di akhir lawatan, Datuk Seri Anwar berkata, hasil pertemuan strategik dengan Sheikh Mohammed Rashid dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua negara memeterai pelbagai perjanjian penting yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala.
“Tingkat kerjasama strategik dalam politik,ekonomi dan pelaburan, pertahanan, tenaga boleh baharu (RE) dan nuklear, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan,” katanya kepada media Malaysia.
Datuk Seri Anwar berkata Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) Malaysia-UAE juga membolehkan peningkatan perdagangan dan pasaran negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC) dan ASEAN.
Perdana Menteri turut menjemput Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.