Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lawatan ke Brunei: PM diberi sambutan rasmi negara

 

 

Oleh Safwan Sawi

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bandar Seri Begawan hari ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi negara dua hari di Brunei Darussalam.

Ia bagi mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah susulan hasil lawatan khas Sultan Brunei ke Malaysia November lalu.

Pesawat khas dari Kuala Lumpur yang membawa Datuk Seri Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 3.15 petang.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Datuk Seri Anwar diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu.

Lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Perdana Menteri kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Datuk Seri Anwar seterusnya dijadual menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya tinggi Malaysia di Brunei.

Sempena lawatan itu Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Mengadap Empat Mata bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman esok

Pengisian utama pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah antara lain bakal membincangkan soal kerjasama dua hala termasuk dalam menangani cabaran serantau dan global.

Usai pertemuan itu, Datuk Seri Anwar akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pelaburan Brunei (BIA).

Delegasi Perdana Menteri turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Loading...
Terkini