Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Melangkah masuk sahaja ke Sekolah Kebangsaan Putra di Kangar, Perlis, seluruh warga sekolah mendapat manfaat melalui ilmu bergerak, yang diterapkan menerusi projek Gallery Walk.
Berkonsepkan outdoor learning, lautan ilmu pengetahuan itu diletakkan di setiap sudut bangunan sekolah termasuk laluan pejalan kaki.
Ia merangkumi semua matapelajaran seperti Bahasa Melayu dan Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah serta Pengetahuan Am.
Projek Gallery Walk itu dinobatkan sebagai Johan dalam pertandingan Program Pendidikan Inklusif Sekolah Rendah Negeri Perlis 2022 yang kemudiannya mengangkat sekolah itu sebagai wakil negeri ke peringkat kebangsaan.
Ia turut diinovasikan dengan penyediaan barcode bagi merekodkan kepenggunaannya dikalangan murid menerusi google form.
“Di Sekolah Kebangsaan Putra ini kita mengamalkan outdoor learning dimana para guru boleh membawa murid-murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan subjek-subjek atau mata pelajaran yang mereka ajar di kawasan persekitaran sekolah ini,” kata Jafri Othman, Guru Besar SK Putra
Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas, Nor Inshon Karim, segala informasi berkaitan murid berkeperluan khas sekolah berkenaan diletakkan di galeri ini sebagai pengetahuan kepada murid aliran perdana.
“Di Gallery Walk SK Putra ini kami meletakkan info-info yang berkaitan murid-murid berkeperluan pendidikan khas yang mana dapat dikenali oleh semua warga dan di sini kita akan memperkenalkan apa yang murid berkeperluan pendidikan khas dapat bersama dengan murid-murid aliran perdana didalam pendidikan, korikulum, dalam sosial dan dalam apa sahaja aktiviti yang dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk bergaul dengan masyarakat umum terutamanya rakan-rakan di SK Putra sendiri,” katanya.
Apa yang pasti, kumpulan murid perlu memanfaatkannya supaya penyebaran ilmu itu berlaku, sekaligus melahirkan murid yang berpengetahuan.
Projek itu juga secara tidak langsung memberi manfaat kepada keseluruhan 574 orang murid termasuk murid dibawah Program Pendidikan Khas intergrasi PPKI.