KUANTAN: Himpunan untuk menunjukkan kebencian rakyat negara ini terhadap kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin berlangsung di beberapa lokasi, hari ini.
Bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), lebih 6,000 orang menyertai Himpunan Pahang For Palestin anjuran Kerajaan Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata himpunan berkenaan bagi melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib malang rakyat Palestin.
“Walaupun Palestin 17,700 kilometer dari Pahang tetapi hati kita dekat dengan rakyat negara itu kerana kita benci kepada kekejaman, kezaliman yang dilakukan Israel,” katanya.
Wan Rosdy melancarkan Tabung Palestin 2.0 yang berjaya mengutip hasil sumbangan kerajaan negeri dan Majlis Kebajikan India Muslim Pahang.
Sementara itu, di ibu negara, Himpunan 10K Solidariti Palestin bermula dari Masjid KLCC.
Peserta mula berarak kira-kira jam 1.45 petang menuju ke Jalan Binjai, Persiaran KLCC dan kemudian ke Jalan Tun Razak melalui hadapan Menara Tan and Tan.
Mereka seterusnya bergerak ke hadapan bangunan Tabung Haji sebelum membuat pusingan U dan menuju ke hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali antara yang menyertai himpunan ini.
Dalam pada itu, program Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Sabah mengutuk kekejaman rejim Zionis juga menandakan semangat perpaduan dan solidariti rakyat negeri itu yang sukakan keamanan.
Pada program anjuran bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, kerajaan negeri menyumbang RM300,000 untuk Tabung Kemanusiaan Aman Palestin.
Pelbagai agensi, badan dan organisasi turut menyumbang untuk tabung berkenaan yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM355,000.
“Kita mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan untuk menghentikan kekejamn Zionis Israel. Mereka melakukan kekejaman berpuluh tahun,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika berucap pada himpunan berkenaan.