comscore
Tumpuan :
Nasional

Laungan ‘Merdeka’ semai semangat patriotik

 

Warga SK Perempuan Methodist mengibar Jalur Gemilang ketika Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023 peringkat sekolah. – Foto : NSTP

GEORGE TOWN: ‘Melentur buluh daripada rebungnya’. Itulah matlamat yang diterapkan warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Jalan Anson di sini, bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid.

Seramai 563 murid tahun satu hingga enam sekolah berkenaan mengambil bahagian pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023 peringkat sekolah dengan berpakaian tradisional masing-masing serta mengibar Jalur Gemilang.

Guru Besar, Ng Kar Hoong berkata, kelebihan sekolah berkenaan adalah terdiri daripada pelbagai kaum sekaligus selaras dengan seruan ‘Malaysia Madani’ yang mahu semua hidup bersatu padu.

Foto : NSTP

“Bukan sahaja kibar bendera dan nyanyikan beberapa lagu patriotik, tetapi kita mahu tanamkan ‘Semangat Malaysia’ dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah juga di tempat kelahiran mereka.

“Ia adalah acara tahunan dan kali ini agak meriah malah kami akan teruskan anjurkan bagi tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Acara yang turut disertai seramai 43 guru itu turut dihadiri Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut Mohd Mursalin Ramli@Yusof.

Pada acara itu beberapa guru turut melakukan gimik mengayuh basikal yang dihiasi Jalur Gemilang.

Foto : NSTP

Sementara itu, murid, Jovianne Gan Chun Ya, 11, berkata, erti Kemerdekaan ialah apabila Malaysia menjadi negara yang aman dan kini bebas daripada penjajah

“Saya berbangga menjadi rakyat Malaysia serta berkawan dengan berbilang bangsa, jadi diharap keadaan ini akan berterusan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Bagi T Jayanee, 12, Malaysia adalah negara yang mana semua rakyatnya boleh bersatu.

“Malaysia adalah negara yang saya boleh berjalan-jalan tanpa rasa takut. Pada (cuti) Hari Kebangsaan, saya sambut bersama keluarga dengan bersemangat,” kata Nurnazneen Mohd Nadeem, 12, pula.

Loading...
Terkini