comscore
Tumpuan :
Nasional

Larry Sng masih Presiden PBM – ROS

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda Parti Bangsa Malaysia (PBM) terjawab, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden parti itu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad, ini berdasarkan rekod di jabatan itu.

Justeru jika wujud sebarang pertikaian mengenai jawatan ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

Ujarnya pertikaian mengenai jawatan Presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan ROS.

“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan ROS,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas krisis dalam PBM selepas dua individu termasuk Larry yang juga Ahli Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.

Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.

Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Beliau menegaskan masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod ROS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat hari ini di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

Loading...
Terkini