comscore
Tumpuan :
Nasional

Larikan dua budak, peniaga pisang goreng akan didakwa esok 

KUALA LUMPUR: Peniaga pisang goreng yang melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, pada 19 Julai lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Lelaki berusia 32 tahun terbabit sebelum ini ditahan di Jalan Pawang Jalil, Jeram, selepas dua hari melarikan kanak-kanak berkenaan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Selangor, semalam.

“Polis mendapat arahan tuduh untuk dua kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan kanak-kanak daripada jagaan sah.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pemandu Perodua Bezza yang ‘melarikan’ dua kanak-kanak perempuan berjaya ditahan polis awal pagi 21 Julai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin dilaporkan berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah di rumahnya di Jeram, kira-kira 2.40 pagi.

Sebelum itu, tular di media sosial berkaitan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 8 dan 6 tahun dilarikan seorang lelaki memandu Perodua Bezza berwarna hitam.

Mereka kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa jam 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini