
KAJANG: Larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan bersempena Aidilfitri akan berkuatkuasa bermula 29 Mac ini di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat hari bermula 29 dan 30 Mac ini untuk sebelum perayaan, manakala selepas perayaan pada 5 dan 6 April.
Menurutnya, ia mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama ‘road-ban’ itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.
“Pihak Kementerian Pengangkutan dan JPJ mengingatkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan berkenaan,” katanya pada sidang media Operasi Khas dan Berbuka Puasa bersama Penguat Kuasa JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, sekiranya kenderaan gagal mematuhi Kaedah 2 (1), Kaedah Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan) 2025 tindakan akan diambil mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, ia boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM 2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan kesalahan.
“Selain daripada itu, sebagai usaha berterusan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan, JPJ akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan strategi secara menyeluruh dan berfokus menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 pada 24 Mac hingga 8 April 2025 di seluruh negara.
“Operasi itu untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.
Katanya, aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan boleh dilaporkan melalui Aplikasi MyJPJ menu e-Aduan@jpj atau melalui emel rasmi aduan JPJ [email protected],” katanya.
Sementara itu, pada operasi dijalankan hari ini, JPJ menyita sebuah kenderaan dan mengeluarkan 124 saman pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan 218 kenderaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.