Tumpuan :
Nasional

Larangan memakai pakaian mencolok mata di Pulau Besar

Foto: Datuk Che Sukri Che Mat, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan membincangkan enakmen baharu berhubung larangan berpakaian tidak sopan di Pulau Besar susulan insiden tular pelancong warga asing berbikini di pulau itu, baru-baru ini.

Tegas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, perbincangan itu akan dibuat bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Pulau-pulau Melaka (MPPM) dalam satu pertemuan Selasa ini.

Enakmen itu kata beliau, diperlukan bagi membolehkan kawalan dan tindakan dapat dilaksanakan dalam memastikan pulau peranginan itu terpelihara daripada perkara yang bercanggah dengan syariat agama.

“Difahamkan insiden pelancong memakai pakaian separuh bogel di Pulau Besar itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang awam dan netizen.

“Bagaimanapun kita tidak dapat mengambil tindakan kerana mereka itu individu bukan Islam, tidak ada enakmen untuk bagi kesalahan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Operasi Ambang Tahun Baharu di sini, awal pagi tadi.

Menurut Che Sukri, ketika ini, Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk mereka yang beragama Islam.

Sebagai tindakan awal, pihaknya akan meminta kerjasama pengusaha bot dan penginapan serta Rakan Setia Bersama JAIM untuk menegur mana-mana individu yang berpakaian tidak sopan.

“Kita bercadang untuk meletakkan papan tanda larangan dan peringatan untuk pelancong agar berpakaian yang sesuai, bukanlah berbikini,” katanya.

Sejak 25 Disember lalu, tular satu klip video berdurasi lebih dua minit memaparkan beberapa pelancong wanita dipercayai warga asing berbikini untuk bermandi-manda di pantai berkenaan.

Klip tersebut dikongsi lebih 1,600 pengguna Facebook dengan sebahagian besar netizen mengecam tindakan pelancong berkenaan dan didakwa akan menjadi punca berlakunya bencana besar di kawasan tersebut.

Loading...
Terkini