Tumpuan :
Nasional

Larangan kanak-kanak tunai haji: Jemaah Malaysia tidak terkesan – Mohd Na’im

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Peraturan baharu kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun menunaikan ibadat haji bagi tahun 1446H/2025M tidak memberi kesan kepada jemaah tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini berikutan, Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan syarat umur minimum bagi jemaah tanah air yang layak menunaikan ibadat haji adalah mesti berusia 15 tahun.

“Jika kita lihat pengumuman kerajaan Arab Saudi, larangan itu untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Dalam konteks kita (Malaysia) TH meletakkan umur bagi menunaikan ibadat haji adalah umur baligh iaitu 15 tahun.

“Jadi (jemaah kita) tidak terkesan dengan peraturan baharu ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP, di sini, hari ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan peraturan baharu bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah haji ke Tanah Suci.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im percaya peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi itu dibuat selepas melakukan kajian mendalam dan bagi memastikan perjalanan haji berjalan dengan baik.

“Kita menghormati apa yang Arab Saudi tetapkan. Peraturan ini tak lain tak bukan untuk pastikan perjalanan haji kali ini berjalan dengan lancar.

“Kemungkinan kita tengok pada tahun lalu apabila kanak-kanak kecil dibawa sekali, ketika musim haji dengan berjuta orang ada di Makkah…ada kemungkinan tak sesuai untuk anak-anak ini dengan suhu begitu panas.

Sebelum ini, TH dalam satu kenyataan, memaklumkan seramai 31,600 jemaah tanah air ditawarkan untuk menunaikan ibadat haji 1446H/2025M.

TH menerusi laman webnya memaklumkan penerbangan pertama jemaah tanah air dijadualkan pada 29 April depan bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446H.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini