comscore
Tumpuan :
Nasional

Larangan guna pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember melibatkan pelajar sekolah

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) memeriksa papan tanda amaran dan larangan merentas sempadan Malaysia- Thailand di pengkalan haram MCA di Sungai Golok, Rantau Panjang. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Larangan merentasi sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Disember ini, terpakai kepada semua pihak termasuk pelajar sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata, mekanisme khusus telah dirangka untuk pelajar yang sebelum ini menggunakan pangkalan haram bagi keperluan bersekolah.

“Hasil mesyuarat, kita memutuskan untuk melaksanakan larangan ini sebagaimana diumumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dengan tindakan tangkapan akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

“Peraturan ini terpakai untuk semua, termasuk pelajar. Oleh itu, semua pihak perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah.

“Bagi pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menguruskan kaedah tertentu untuk memastikan mereka tidak terjejas,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Mesyuarat selama hampir tiga jam itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Hamzah menegaskan bahawa keselamatan sempadan Malaysia-Thailand perlu menjadi keutamaan.

“Sekiranya keluarga pelajar memberikan sokongan penuh terhadap larangan ini, saya yakin tiada sebarang isu yang akan timbul. Selepas ini, semua individu yang mahu ke Thailand atau Malaysia perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah.

“Soal sama ada pintu masuk akan dibuka lebih awal akan bergantung kepada perbincangan antara jabatan berkaitan dan pihak Thailand,” jelasnya.

Tambahnya, butiran lanjut mengenai pelaksanaan larangan ini akan diumumkan oleh Ketua Polis Kelantan.

Selain itu, Pengarah JPN Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan untuk menangani isu pelajar yang menggunakan laluan haram.

“Beberapa cadangan telah dikemukakan dan akan diangkat kepada Menteri Pendidikan untuk pertimbangan. Antara cadangan utama adalah menempatkan pelajar di asrama,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram setiap hari untuk merentasi Sungai Golok ke sekolah di Malaysia.

Tinjauan mendapati pelajar mula berkumpul seawal jam 6.30 pagi, menunggu bot dengan caj RM1 setiap perjalanan. Antara pangkalan haram yang menjadi tumpuan ialah Pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen, dan Paun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini