Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Polis telah memanggil Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini, dan pengurusan surau kondominium berkenaan untuk diambil keterangan berhubung kejadian larangan azan di surau berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata polis akan menggunakan cara diplomatik untuk menyelesaikan isu berkenaan mengambil kira ia berkait isu agama yang berunsur sensitif.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Cawangan Khas telah memanggil kedua-dua pihak untuk mengambil keterangan berhubung isu berkenaan.
“Isu ini masih berada dalam tindakan polis. Kita cuba selesaikan isu ini dalam keadaan harmoni. Kita mahu menggunakan cara diplomatik mengambilkra isu ini adalah isu agama yang sensitif.
“Semua pihak sedang mencari cara yang terbaik untuk selesaikan isu ini. Setakat ini, tiada isu perkauman, keadaan masih terkawal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Negeri, di sini, siang tadi.
Tambahnya, pihak polis juga difahamkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan mesyuarat bersama pihak terbabit berhubung isu berkenaan pada pagi tadi.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang mengetuai mesyuarat berkenaan dijadualkan mengadakan sidang media di surau berkenaan pada jam 6 petang ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium dengan penghuninya berhubung isu azan di kediaman terbabit.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB dipercayai melarang pihak surau kondominium itu menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan.
Sebaliknya, dikatakan hanya dibenarkan untuk menggunakan dua pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau yang terletak kira-kira 200 meter dari blok pertama.
Ia menyebabkan penghuninya yang tidak berpuas hati lantang bersuara agar perkara berhubung syiar Islam tidak diganggu mana-mana pihak.