Tumpuan :
Nasional

Larang kapal Israel berlabuh : Malaysia ada hak di bawah UNCLOS – Penganalisis

Foto: NSTP

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai hak untuk menyekat mahupun menghalang mana-mana kapal untuk berlabuh di pelabuhan negara ini berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli menjelaskan, kebenaran kapal untuk berlabuh di pelabuhan adalah tertakluk kepada konvensyen berkenaan.

Bagaimanapun, pelabuhan boleh ditutup sekiranya berkait kepentingan negara.

“Menurut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), pelabuhan adalah tertakluk kepada perairan dalaman.

”Tetapi apabila kapal-kapal ingin berlabuh di pelabuhan Malaysia, pihak berkuasa pelabuhan Malaysia berhak menentukan kapal apa yang boleh berlabuh dan melarang mana-mana kapal untuk berlabuh.

“Memandangkan masalah (di) Gaza bersangkut paut kepentingan negara juga kerana kita mendukung aspirasi rakyat Palestin. Jadi kita (kerajaan) berhak tutup pelabuhan kita pada mana-mana kapal yang kita rasa mengancam kepentingan negara,” jelas beliau kepada Buletin TV3.

Mengulas kesan tindakan Malaysia dalam memberi tekanan kepada Israel atas kezaliman di bumi Gaza, Mohd Hazmi percaya akan ada pengaruh di peringkat ASEAN.

“Mungkin ada pengaruhnya, mungkin tidak, sebab tidak semua ahli ASEAN bersimpati dengan apa yang berlaku di Gaza,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan berkuat kuasa serta-merta,  kapal menggunakan bendera Israel atau kapal dalam perjalanan menuju ke Israel dilarang  berlabuh atau memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang  mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap rakyat palestin.

Loading...
Terkini