comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali siap akhir bulan ini

KUALA LUMPUR: Laporan hasil penemuan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Disember lalu dijangka siap akhir bulan ini sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata hanya selepas itu, laporan berkenaan akan dimuktamadkan bagi membolehkan semua pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.

“Kementerian ini melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir berhubung kejadian berkenaan.

“Justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Alexander berkata, antara elemen yang diambil kira dalam menyiapkan laporan adalah kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

Beliau berkata, data dari ujian itu adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi.

Semalam, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku 16 Disember lalu, secara kolektif menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.

Ini kerana mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan malah kami sendiri tidak tahu apa punca kejadian walaupun sudah lebih enam bulan berlalu.

Tragedi pada kira-kira jam 2.30 pagi 16 Disember itu membabitkan 92 mangsa, dengan 31 terkorban manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm Jalan Genting.

Pada 19 Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan penuh mengenai kejadian itu dijangka siap pada akhir bulan lepas.

Nik Nazmi memaklumkan kementeriannya sudah membentangkan laporan awal mengenai tragedi itu kepada Kabinet pada 4 Januari lalu.

Katanya, laporan awal itu disediakan oleh Jabatan Mineral dan Goesains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Loading...
Terkini