Tumpuan :
Nasional

Laporan siasatan kematian pakar patologi Hospital Lahad Datu didedah Februari depan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.-FOTO: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Laporan siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah kerana disyaki dibuli, dijangka didedahkan pada bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, perkara itu perlu mendapat kelulusan selepas laporan itu dibentangkan kepada Kabinet.

“Pertamanya saya akan memberi heads up kepada kabinet, Jemaah Kabinet, Perdana Menteri dan seterusnya saya akan membuat pembentangan dalam pasca Mesyuarat Kabinet.

“Dalam bulan Februari sejurus saya mendapat kelulusan Kabinet. Harap bersabar, kita berikan keyakinan penuh kepada Tan Sri Borhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di Presint 9.

Menurut Dr Dzulkefly, pihak keluarga turut mahukan penjelasan terhadap kematian mendiang.

“Keluarga memohon untuk memberikan penjasan dan penerangan dapatan itu kepada mereka.

“Saya akan pastinya mahu memenuhi permintaan dan permohonan keluarga sebelum saya dedahkan kepada umum. Itu janji saya, we will be transparent,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, 29 Ogos lalu, dipercayai disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Adik mangsa dikenali sebagai YS Tay, mendakwa bahawa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasan beliau, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini