comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan Siasatan Insiden KPPA, Pegawai Imigresen Kini di Tangan KSN

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Jawatankuasa Siasatan (JKS) yang menyiasat insiden membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 22 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata laporan berkenaan ditandatangani empat panel JKS iaitu Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara bersetuju supaya Jabatan Audit Negara menjadi urus setia bagi JKS.

“JKS mengadakan sesi temu bual dengan saksi pada 10, 11, 12 dan 18 Ogos 2022. Sesi perbincangan dan memuktamadkan laporan pula diadakan pada 19 Ogos 2022,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Pada 5 Ogos lalu, Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan JKS bagi menyiasat insiden berkenaan yang berlaku pada 3 Ogos.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Shafiq didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Penolong Penguasa Imigresen di KLIA, James Lee.

Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk kejadian terbabit sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan tuduhan bahawa Mohd Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai berkenaan.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini