KUALA LUMPUR: Selepas seminggu diedarkan kepada umum, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu akan dibahaskan 10 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok.
Antara yang akan membahaskan usul itu ialah R Yuneswaran (PH-Segamat); Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading); Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Terdahulu, Takiyuddin sebelum usul dibentangkan bangkit mencelah menggunakan Peraturan 36(12), mempersoal kewajaran sebahagian daripada laporan RCI berkenaan dipadamkan, selain menyifatkannya sebagai cacat.
“Dalam laporan ini, terdapat 47 daripada 217 halaman dipadamkan. Saya nak minta penjelasan. Apa yang kita nak rujuk ini?” katanya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudian menjelaskan setiap wakil rakyat boleh mengemukakan pertanyaan berhubung halaman yang dipadamkan itu kepada menteri ketika berbahas.
“Saya sudah pun menerima laporan ini lebih awal dan memanggil menteri (Azalina) untuk mendapatkan penjelasan oleh kerana kita ada Peraturan 27(3) berkenaan usul menteri.
“Saya juga bertanya kepada menteri, benda yang dibentangkan ini membabitkan kedaulatan dan sensitiviti serta perkara (berkenaan) mungkin boleh ditanya dalam dewan, tetapi tidak didedahkan kepada umum.
“Ini untuk menjaga kemaslahatan politik dan keselamatan negara. Justeru, Yang Berhormat boleh bertanya kepada menteri, saya benarkan, tiada masalah.
“Boleh tanya cuma ia bukan dalam bentuk hitam putih,” katanya.
Laporan setebal 217 halaman itu mengandungi penemuan siasatan dan syor untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, seterusnya bagi pertimbangan Kabinet.
RCI dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif itu antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding itu diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Kabinet diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Ia juga menyatakan, dalam konteks Seksyen 415(b), perkara perlu ditunjukkan adalah Dr Mahathir bertindak menipu Kabinet dan dengan sengaja mendorong kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan, walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak, tanpa kelulusan Kabinet.
Katanya, jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Kabinet mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai kedua-dua permohonan itu.
RCI berkenaan juga mengesyorkan Malaysia boleh memfailkan semula Permohonan Tafsiran baharu pada bila-bila masa sesuai, namun tidak mencadangkan Malaysia memfailkan semula Permohonan Tafsiran.
Selain itu, tindakan sivil di bawah Tort Misfeasans dicadangkan Pasukan Petugas Khas sebelum ini, tidak perlu diambil terhadap Mahathir kerana ia terhalang oleh had masa.
ICJ pada 23 Mei 2008, memutuskan Singapura punya hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.