KUALA TERENGGANU: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul di pasar tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman berada dalam keadaan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah bagaimanapun berkata, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, masih dalam pemerhatian petugas perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Katanya setakat ini, laporan perubatan lelaki terbabit masih belum siap.
“Sehingga semalam, saya berhubung dengan pihak hospital, masih lagi belum ada satu tarikh yang tertentu untuk selesaikan laporan perubatan mangsa tadi.
“Dia (mangsa) masih ada di wad dan masih di bawah pemerhatian pihak hospital (dan) saya difahamkan keadaannya stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes pukul membabitkan OKU itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, 23 Januari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Ja’afar dilaporkan berkata, kertas siasatan itu kemudian dikembalikan semula kepada pihak PDRM bagi menunggu laporan lengkap perubatan mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.