Oleh : Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menegaskan setiap laporan mengenai salah laku pegawai perlu ada pembuktian kesalahan.
Ia berdasarkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberitahu, terdapat agensi kerajaan yang tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan walaupun pihaknya telah mengesyorkan tindakan diambil.
Beliau berkata, pembuktian kesalahan perlu diambil kira oleh SPRM dan bukan hanya mengesyaki tanpa wujudnya prima facie terhadap kesalahan yang dikenakan tersebut.
“Sekiranya mereka itu (jabatan) telah pun ada bahan bukti yang mereka ini boleh didakwa, sudah tentu mereka ini telah diambil tindakan oleh SPRM,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, ada kemungkinan kurangnya saksi terhadap pembuktian tersebut menyebabkan pendakwaan tidak dapat diteruskan, sebaliknya diserah kembali kepada jabatan dengan hanya tindakan dalaman diambil.
“Kurangnya saksi ataupun tiada individu yang ingin menjadi saksi, kerana mereka mungkin berada di jabatan yang sama menyebabkan jabatan juga mengalami situasi yang sama sebagaimana situasi SPRM yang tidak boleh mengambil tindakan terus.
“Tidak mungkin jabatan tiada mengambil tindakan terhadap isu yang membabitkan salah laku dalam sebuah jabatan, ia berkemungkinan tidak dilaporkan secara terus kerana sudah ada tindakan yang diambil oleh jabatan terbabit dengan menukar kakitangannya ke tempat lain yang kurang terdedah kepada sebarang kemungkinan,” tambahnya lagi.
Terdahulu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan sejak 12 tahun lalu.
Daripada keseluruhan 553 laporan, laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu sebanyak 125 laporan, dan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Malah ada juga laporan salah laku yang berlaku di mahkamah, pejabat perdana menteri, pihak berkuasa agama, hospital dan jabatan kesihatan, serta di peringkat universiti.
Beliau berkata, walaupun pekeliling sudah dikeluarkan kepada semua jabatan mengenai perkara terbabit, namun masih ramai yang memilih untuk berdiam diri.
Adnan Mat bagaimanapun memberitahu, mungkin berlaku permasalahan melibatkan komunikasi antara jabatan yang menyebabkan laporan tidak dapat diketengahkan terus kepada mereka.
“Berdasarkan pekeliling keselamatan, pihak kami tidak akan meletakkan pegawai yang terdedah kepada risiko pekerjaan ini untuk tidak bekerja di satu tempat dalam tempoh yang lama , pertukaran hendaklah dilakukan setiap lima tahun secara tertib demi keselamatan jabatan dan kakitangan,” ujarnya lagi.
Beliau juga yakin bahawa ada jabatan yang telah mengambil tindakan seperti digariskan dalam pekeliling dan menyeru agar semua jabatan menerima maklum balas ini dengan baik.