BANGI: Laporan tragedi tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor semalam, akan diterima dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, ia kemudian akan dibentang di Kabinet untuk tindakan lanjut.
Katanya, semalam, beliau turut meninjau lokasi kejadian bersama pakar gaya hidup lestari, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
“Kawasan di situ sebenarnya tidak dilanda hujan untuk beberapa hari. Tetapi apabila berlaku tanah runtuh, air itu mencurah-curah.
“Bagaimanapun, terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan sebagainya. Kajian sedang dilaksanakan dan laporan akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Hari Denai Alam: Melestarikan Alam 2022, Denai Alur Ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Ditanya sama ada undang-undang longgar turut menjadi faktor kejadian seumpama itu berlaku, Nik Nazmi berkata, penyelesaian kepada masalah terbabit akan dilihat secara menyeluruh.
“Hukuman lebih tegas? Kita akan tengok semua option (pilihan) termasuk perkara itu.
“Tetapi kita juga tahu bahawa mungkin tahap pembangunan di sesuatu tempat yang terlalu pesat (hingga menyebabkan tanah runtuh), mungkin juga kadar taburan hujan banyak, jadi itu juga potensi.
“I don’t want to speculate (saya tidak mahu membuat spekulasi) tetapi we will look into all that (kementerian akan lihat semua aspek).
“Di pihak kementerian, kita akan ambil pendekatan yang holistik sebab perkara ini tidak akan jadi hanya sekadar satu insiden.
“Kita hendak selamatkan dan lindungi rakyat kita khususnya. Jadi perkara ini kita akan ambil perhatian,” katanya.